Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake
Garden, Taiping, Perak. Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al – Attas. Hasil
perkongsian hidup dengan Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah, mereka
dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman
dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan
seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan
Hendon
Sebelum dilahirkan, bonda beliau telah bermimpi didatangi satu lembaga yang mengkhabarkan anak kandungannya akan
menjadi seorang pahlawan yang gagah berani. Meor Abdul Rahman dilahir
berkembarkan seekor cacing. Kembar beliau tersebut setelah dibersihkan
disimpan dalam sebuah tempurung kelapa jantan, kemudian ia dihanyut ke
laut melalui Teluk Kertang, Matang, Perak. Menurut kata bondanya,
kelahiran sedemikian adalah petanda awal bahawa Meor Abdul Rahman akan
menjadi seorang pendekar yang terbilang.
Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam, Taiping. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di
Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School
di Ipoh sehingga tahun 1936.
Beliau menuntut ilmu persilatan dengan nendanya sendiri iaitu Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas ketika
berusia lebih kurang 12 tahun. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah
pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari nendanya. Selama lebih
2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang
dan malam. Tempoh tersebut dikira terlalu lama berbanding rakan – rakan
beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja seperti
di Changkat Jering dan Batu Kurau. Ini mengakibatkan beliau sering diejek
dan dipersenda umpama buah yang tidak masak oleh rakan – rakan sebaya.
Apabila persoalan demikian dikemuka oleh bondanya kepada Syed Zainal al –
Attas, jawapan yang diberi ialah cucunda beliau akan dikhatam oleh orang
ghaib pada suatu masa di suatu tempat di sempadan Kedah dan
Siam.
Sejak dalam persekolahan menengah lagi, Meor Abdul Rahman sering berulang – alik
ke rumah kandanya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau amat rapat
dengan Hendon dan suaminya Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Balai
Polis Kota Sarang Semut sebagai seorang inspektor.
Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936, beliau menetap bersama kandanya,
Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kandanya yang bernama
Che Kalsom bte. Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan di Kota Sarang
Semut. Apabila kanda iparnya, Zainal Abidin dinaikkan pangkat sebagai
Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah di Kuala
Nerang, Kedah, Meor Abdul Rahman telah samam – sama berpindah dan menetap
dengan kandanya di sana. Sepanjang berada di Kuala Nerang, beliau sering
berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan dengan Pegawai Daerah Kuala
Nerang iaitu Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Syah.
Pada suatu hari, beliau telah keluar berburu bersama – sama kandanya Meor Abdul Abdul Aziz dan seorang sepupunya
bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu di dalam hutan
tersebut, beliau tersesat sehingga ke Padang Sanai. Di sana, beliau telah
berkenalan dengan Pak Choh dan Tok Mek Jah, sepasang suami isteri penjual
burung yang ditemui di Pekan Rabu. Atas permintaan Meor Abdul Rahman,
mereka telah membawa beliau ke Mee Nam, Selatan Thailand. Apabila tiba di
rumah Pak Choh di Mee Nam, beliau meminta izin untuk mandi di sungai di
kawasan tersebut. Semasa terlelap di atas sebuah batu besar berwarna hitam
di tepi sebatang sungai, suatu lembaga yang berpakaian segak seperti
hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka telah menjelma dalam
mimpi beliau. Beliau diarah oleh lembaga tersebut yang memperkenalkan diri
sebagai Hang Tuah mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk
menyembah taat setia. Apabila tersentak dari tidur, beliau terasa ada
perubahan pada dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar
biasa.
Setibanya di Taiping, beliau telah menceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli keluarganya. Atas
nasihat Syed Zainal, Meor Abdul Rahman pergi mengadap Paduka Seri Sultan
Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah
untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah
malamnya, beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di
Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati
dengan kegagahan Meor Abdul Rahman, baginda sultan menggelarkan beliau ‘
Rahman Sendo ’ dan dijadikan anak angkat baginda. Beliau menetap bersama –
sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam
tahun 1938.
Silat Seni Gayong buat pertama kalinya telah diperkenalkan ialah di Taiping, Perak. Beliau menzahirkan ilmu pusaka dan
amanah yang diterima dari Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah di
kalangan rakan terdekat. Antara rakan rapat beliau ialah Wan Noh bin Haji
Ismail, Wan Man bin Haji Ismail, Bakar dan Aziz Khan. Beliau digelar oleh
rakan – rakan ‘ Rahman The Strong Man ’. Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul
Hamid Halim Syah juga pernah mengiktirafkan kebolehan Meor Abdul Rahman
sebagai seorang mahaguru.
Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, beliau ditemani Bidin bermusafir dengan keretapi ke Singapura untuk
mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura
ialah di Naval Base sebagai tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di
sana, beliau telah ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura
berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps.
Pada sebelah malamnya, beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja
sebagai seorang mekanik di jabatan yang sama.
Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn
telah melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan
tentera British. Ia merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang
Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam
pasukan ini sehingga tahun 1942. Semasa berkhidmat di Bahagian Signal
Corps, pada bulan November 1941, beliau telah melangsungkan perkahwinan
kedua dengan anak sepupunya, Paridah bte Yusope.
Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Beliau membawa keluarganya berperahu menyeberangi lautan
api ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau
Sudong barulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana.
Pada 17 haribulan Februari 1942 jam 2.00 petang, seramai 7 orang pemuda
Pulau Sudong diperlimau sebagai murid Gayong. Mereka ialah Naning bin Mat,
Ahmad Arshad bin Haji Hassan, Sabtu bin Likur, Yusof bin Rantau, Osman bin
Timpong, Mustapha bin Bengkok dan Bendol bin Benggol. Mereka ini terpilih
untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun yang ingin merampas gadis Pulau
Sudong untuk dijadikan pemuas nafsu ganas mereka. Atas kebijaksanaan Meor
Abdul Rahman, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera
Jepun.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Meor Abdul Rahman pernah ditangkap kerana mencederakan sekumpulan tentera Jepun
yang cuba memperkosa isteri pertamanya, Che Kalsom. Beliau kemudiannya
dibebaskan setelah sekumpulan pegawai penjara Jepun berjaya ditewaskan
dalam satu pergaduhan. Bagi mengelak ancaman tentera Jepun, beliau
terpaksa menerima tawaran bekerja sebagai seorang kempetai. Tidak berapa
lama kemudian, beliau telah berkahwin dengan Syarifah Rehan bte. Syed
Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai
memenuhi hajat keluarga semata – mata. Apabila Jepun menyerah kalah kepada
Tentera Bersekutu dalam tahun 1945, Meor Abdul Rahman telah kembali semula
ke Singapura. Setibanya di Singapura, beliau telah diundang menjadi
penghulu oleh penduduk Pulau Sudong di sana.
Pulau Sudong telah dijadikan pusat perkembangan Silat Seni Gayong sehingga ia merebak ke pulau – pulau
berhampiran seperti Pulau Seking, Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau
Sekijang, Pulau Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau Damar. Meor Abdul Rahman
juga telah menggunakan Silat Seni Gayong untuk menyelamatkan ancaman lanun
di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke
lain – lain pulau di Indonesia. Tidak lama selepas itu, kerajaan British
telah melantik beliau sebagai penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar
Pulau Sudong.
Dalam tahun 1947, Kerajaan British telah menawarkan jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri
Singapura. Beliau ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin
politik Melayu yang meniupkan semangat anti – British. Peluang ini diambil
oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang – pejuang
kemerdekaan seperti Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di
Singapura. Setelah 4 bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, beliau
memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah. Pada mulanya beliau
ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti
penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar pula ke Bahagian
Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai
berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Meor Abdul Rahman
telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa
berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.
Silat Seni Gayong mula berkembang di pulau besar Singapura pada akhir tahun 1949. 7 orang murid pertama yang
menjalani upacara Perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor Fadal, Ustaz
Mansor, Sinwan, Joned Hanim, Hosni Ahmad dan Salim. Sinwan, Joned Hanim
dan Salim merupakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Singapura yang
terawal menjadi murid Gayong. Pusat Latihan Silat Seni Gayong dalam tahun
1950 – an di pulau besar Singapura ialah di Bakar Sampah. Dalam tahun
1954, kumpulan pertama wanita seramai 7 orang telah memasuki Gayong di
Singapura. Mereka ialah Che Kalsom bte. Haji Kechik, Paridah bte. Yusope,
Asmah ( isteri Joned Hanim ), Aisyah ( isteri Mansor Fadal ), Rafeah
Fadal, Hendon dan Intan.
Pada pertengahan tahun 1950 – an, ramai bintang filem Melayu mempelajari Silat Seni Gayong. Antaranya ialah Jasni
Ahmad, Naeng Yatimah, Kasma Booty, P. Ramlee dan A. Rahim. Kemuncaknya
dalam tahun 1956, Dato’ Onn b. Jaafar, seorang tokoh politik dan pemimpin
Melayu yang disegani telah menjadi murid Gayong. Beliau telah dilantik
sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong.
Pada awal tahun 1957, satu rombongan Silat Seni Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri oleh Meor Abdul Rahman
telah mengadakan persembahan di Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar,
Kedah atas undangan Y.A.M. Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim Ibni
Sultan Badlishah. Pertunjukkan tersebut telah disaksi oleh DYMM Sultan
Badlishah Ibni al – Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Sultan Kedah
Darul Aman. Ini merupakan cubaan pertama untuk mengembangkan sayap Silat
Seni Gayong di Kedah.
Sebuah akademi silat bernama Sekolah Gayong Woodlands atau Institute of Gayong Woodlands telah ditubuh oleh Meor Abdul
Rahman dalam tahun 1959. Akademi ini mengeluarkan Sijil Diploma bagi
mereka yang lulus dalam kursus – kursus yang ditawarkan. Antara tenaga
yang pengajar yang membantu Meor Abdul Rahman ialah Siti Noor Aisyah bte.
Meor Abdul Rahman, Nordin bin Abdul Rahman, Sidek, Abdul Majid bin Omar,
Atan dan Abdul Rahman bin Kadir. Akademi ini telah berjaya melahirkan
beberapa orang gurulatih semenanjung yang terkenal seperti Abdul Majid Mat
Isa, Ramli Ibrahim, Ramli Mat Arof, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman,
Khamsiah M. Ali, Awang Daud dan Ahmad Lazim.
Meor Abdul Rahman bersara dari perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat dalam bidang perniagaan. Silat
Seni Gayong mula tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu apabila pada
bulan Mac 1963, Meor Abdul Rahman telah membawa keluar bersama – samanya 8
orang gurulatih dari Kedah menjelajah ke negeri – negeri di Pantai Barat,
Timur dan Selatan. Mereka terdiri daripada Abdul Majid Mat Isa, Ramli Mat
Arof, Awang Daud, Ismail Chik, Ibrahim Abdullah, Mohd Khir Saad, Mohd Desa
Din dan Ahmad Lazim. Kumpulan ini dipecah kepada beberapa buah negeri dan
digilirkan atas arahan Meor Abdul Rahman sendiri.
Pendaftaran Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan berdaftar telah diluluskan pada 22 hb Oktober 1963. Permohonan
tersebut telah dibuat dalam tahun 1962 atas nasihat Dato’ Onn bin Jaafar.
Alamat awal pertubuhan ini ialah di rumah seorang murid Gayong bernama
Ibrahim di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, Johor. Apabila ibu pejabat
pertubuhan berpindah ke Kota Sarang Semut, Kedah dalam tahun 1964, maka
Kota Sarang Semut telah menggantikan Woodlands sebagai Pusat Latihan
Tertinggi.
Perdana Gayong pertama telah berjaya dianjurkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964. Dalam majlis
tersebut, Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru Silat Seni Gayong telah
dititah oleh Sultan Abdul Halim Muazzam Syah, Sultan Kedah selaku Penaung
Gangga Chula Sakti untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada seluruh anak –
anak muda negeri Kedah.
Pada 31 hb Ogos 1967, seramai 500 orang murid Gayong telah menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke – 10
tahun kemerdekaan tanahair. Ini menandakan pengiktirafan besar pemimpin
negara terhadap perjuangan dan usaha Meor Abdul Rahman. Berikutan itu,
dalam tahun 1969, YAB. Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah
menyertai Silat Seni Gayong dan menjalani upacara istiadat perlimau di Air
Kuning, Taiping. Beliau kemudiannya telah ditabal sebagai Imam Khalifah
Silat Seni Gayong Selangor. Seterusnya, ia disusuli pula oleh Tuan Syed
Jamalulail, Dato’ Senu Abdul Rahman, Tan Sri Dr. Hamdan Sheikh Tahir,
Dato’ Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Syed Nasir
Syed Ismail, Dato’ Syed Nahar Shahabudin dan ramai kerabat Di – Raja,
pembesar serta kenamaan negara dan negeri.
Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning, Taiping, Perak. Seterusnya dalam tahun ini juga,
sistem tingkatan bengkong dan pelajaran Silat Seni Gayong secara lebih
sistematik telah disusun oleh beliau. Dengan bantuan gurulatih kanan,
Ahmad bin Lazim dan para dermawan, beliau mula membangunkan Air Kuning
sebagai pusat latihan baru dan membina sebuah balai adat. Pada 27 hb
Januari 1971, Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia Dan
Serantau telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Idris Syah Ibni al – Marhum
Sultan Alang Iskandar di Air Kuning. Dalam tahun yang sama, beliau telah
dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini yang
membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan
pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan
negara.
Dalam tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman ditemani Tuan Syed Jamalulail telah berangkat ke London untuk menziarahi
saudaranya di sana. Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke
Malaysia, mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar senibela diri terkenal.
Dalam pertemuan singkat itu, Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertukar
fikiran dan maklumat tentang senibela diri Melayu dan Cina dengan Bruce
Lee. Bruce Lee juga telah mengakui kehandalan Meor Abdul Rahman dan
kehebatan Silat Seni Gayong.
Dalam tahun 1972, Dato’ Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al – Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad
Lazim dan Hussin Kaslan mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah
maklum amanah al – Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada
masa yang sama berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan
menerima perlantikan sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan
Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb
September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari
Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun sehinggalah
tahun 1982.
Tahun 1970 – an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong
yang dirancang sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja – raja dan para
pembesar Melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni
Gayong hampir di seluruh Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika hampir
2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni
Gayong di bawah pimpinan YAB. Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Husein selaku
Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong. Pertubuhan
Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi pertubuhan senibela diri
terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni Gayong pada tahun 1976
dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh negara.
Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman
di Air Kuning dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan
masing – masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan
baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang
memeluk Islam setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada
saat – saat akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan
agar murid – murid Gayong kembali bercantum dan bersatu padu. Muda – mudi
diseru menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana
ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang
amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga
segala amanah beliau.
Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas
terakhir atas pangkuan anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan
Siti Kalsom di Hospital Pakar, Ipoh, Perak. Semoga Allah menempatkan Pendita
Agung Silat Melayu Abad ke – 20 tersebut di kalangan hamba – Nya yang
soleh dan dirahmati.